Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter: @Stailista
KUALA LUMPUR, 20 JULAI 2012: Kalau nak diikutkan, mereka bukanlah artis yang lahir secara berkumpulan, apatah lagi trio.
Kerana hakikatnya masing-masing pernah merasai zaman kegemilangan secara solo sekitar tahun 80-an dan lagu mereka masih menjadi pujaan sehingga hari ini.
Namun semalam, ketika berlangsungnya majlis menghargai warga media oleh organisasi Islamic Fashion Festival (IFF) di Hotel Ritz Carlton, tiga nama hebat Azlina Aziz, Liza Aziz dan Salimah Mahmood telah bergandingan bahu menghiburkan para tetamu.
Tiga penghibur veteran itu hadir atas undangan teman rapat dan seperjuangan mereka iaitu Datuk Rezza Shah yang juga pengerusi IFF bagi menyemarakan majlis yang julung-julung kalinya diadakan pihak penganjur berkenaan.
Sekali gus menghilangkan rasa rindu daripada kebanyakan peminat tiga bintang veteran berkenaan yang sudah lama tidak muncul dalam mana-mana persembahan pentas mahupun stesen televisyen tempatan.
Tampil dengan persalinan sedondon dari rekaan kaftan menggunakan fabrik sequined keemasan, ketiga-tiga mereka menarik perhatian tetamu dengan turban di kepala sebagai mengikut tema acara untuk mengetengahkan fesyen masyarakat muslim di mata dunia.
Meskipun tampil dengan gaya hijab nan glamor, namun kemunculan mereka bertiga itu nyata langsung tidak mengecewakan kerana masih memiliki vokal yang mantap bersama gerak tari seiringan mengikut rentak irama.
Malah setiap lagu yang didendangkan cukup hamori membuatkan tetamu terhibur dan seakan alpa bahawa mereka adalah penghibur veteran yang masih relevan sehingga kini.
Mereka tampil tersendiri lagi penuh berkeyakinan dengan seleksi lagu malar segar dan terkini seperti I Have Nothing dari Whitney Houston, Lady Marmalade (Christina Aguielera) dan Wajahmu Di mana Mana yang dinyanyikan sendiri Azlina Aziz.
Kemunculan mereka juga dijadikan simbolik IFF bagi memperkenalkan tema Afrika yang akan menjadi tema utama pada penganjuran festival berkenaan tidak lama lagi.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
