Teks oleh Haswari Ali
Email: ayie@astro.com.my
Twitter:@Stailista
KUALA LUMPUR, 19 JULAI 2012: Dalam diam tak diam, Islamic Fashion Festival (IFF) yang diperkenalkan oleh Datuk Raja Rezza Shah kini sudahpun berusia tujuh tahun dan selama itu jugalah festival fesyen yang membawa misi untuk mengangkat industri fesyen Muslim berhadapan dengan pelbagai onak dan duri.
Ujian paling berbisa apabila penganjuran IFF telah mendapat kritikan hebat daripada media tempatan, walaupun dikebanyakan penggemar industri fesyen antarabangsa, usaha murni Pengerusi IFF itu dilihat cukup membanggakan.
Ditemui ketika majlis menghargai media tempatan di Hotel Ritz Carlton, di sini tengah hari tadi, beliau yang juga pengasas IFF berkata ternyata agak terkilan apabila usahanya itu telah mendapat maklumbalas kurang baik daripada masyarakat di negaranya sendiri.
"Saya pernah ditemuramah oleh akhbar New York Times yang bertanya, bagaimana saya boleh dikritik oleh masyarakat di negara saya sendiri dalam usaha saya memperkenalkan fesyen Islam di mata dunia.
"Saya tidak mampu berkata apa-apa. Kerana dalam apa juga keadaan ketika memperkenalkan IFF kepada pihak luar, saya perlu jujur dengan memperkenalkan IFF dari sudut yang baik dan juga negatif. Biar mereka tahu betapa bersungguh-sungguhnya saya," katanya jujur.
Jelas Datuk Raja Rezza Shah, kritikan paling hebat apabila ada pihak mengatakan fesyen muslim yang diperjuangkan IFF tidak cukup untuk mengetengahkan persalinan masyarakat Muslim sebenar kerana ada kalanya rambut kelihatan terdedah dan bermacam-macam lagi.
Namun katanya, sejak tujuk tahun bersandarkan 25 acara besar-besaran di 13 lokasi penganjuran di seluruh dunia, IFF telah berjaya membuka mata masyarakat asing umumnya supaya mereka memahami bahawa pakaian seorang individu Muslim itu tidak semestinya hitam.
Malah katanya, ada pihak luar yang berbesar hari melaburkan wang bernilai jutaan ringgit untuk meneruskan usaha IFF di beberapa lokasi utama di Eropah sekali gus membuktikan mereka tidak teragak-agak dengan IFF kerana melihat potensi yang besar terhadap industri fesyen Muslim.
"Fesyen masyarakat Muslim bukanlah milik masyarakat Arab dan bukan juga menjurus kepada keganasan seperti yang orang luar sangkakan. Kerana setiap pakaian menampilkan keindahan dan mampu memberi impak yang cantik kepada si pemakai.
"Pelakon Hollywood, Robert De Niro ketika hadir menjayakan IFF di New York cukup berterima kasih dengan undangan saya itu kerana menurutnya IFF telah berjaya membuka mindanya bahawa pakaian wanita Muslim bukan sekadar hitam sahaja.
"Malah ketika menganjurkan IFF di Bali, beberapa masyarakat Indonesia yang bukan beragama Islam di sana juga teruja dengan terjemahan sebenar fesyen masyarakat Muslim yang sama sekali berbeza dengan ideologi mereka sejak terjadinya tragedi bom di Bali," katanya panjang lebar.
Kini IFF yang baru saja selesai mengadakan siri pertunjukan amal di beberapa negara seperti London, Singapura, Filipina dan Indonesia telah menandatangani memorandum persefahaman dengan agensi peragaan terkenal di dunia, IMG untuk beberapa perancangan yang lebih hebat.
Kata Datuk Raja Rezza Shah, IFF mempunyai perancangan untuk terbabit sama dalam Minggu Fesyen New York tidak lama lagi untuk memperkenalkan pereka fesyen tempatan ke sana.
"Berbeza dengan penganjuran IFF sebelum ini, kerjasama dengan IMG kali ini bakal memberi kelebihan untuk memperkenalkan fesyen Muslim dalam salah satu slot minggu fesyen di New York dan kita kali ini kita melihat dari sudut perdagangan bukan lagi pertunjukan amal semata-mata.
"Untuk itu IFF akan bekerjasama dengan banyak pihak berkaitan di dalam negara, bagi memastikan usaha ini dapat direalisasikan. InsyaAllah," katanya penuh yakin.







.jpg)
.jpg)
.jpg)
