Teks oleh Kheme Rosly
khemerosly@yahoo.com
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 19 JULAI 2012: Setelah dicemari dengan isu penarikan balik trofi kemenangan Yuna pada Anugerah Indusri Muzik (AIM) pada tahun lalu, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mahu mengambil langkah lebih berhati-hati supaya insiden yang sama tidak akan berlaku lagi terhadap anugerah berprestij tersebut.
Setelah kredibiliti Anugerah Industri Muzik sebagai sebuah anugerah berprestij yang mengangkat industri muzik tempatan telah tercalar ekoran berlakunya kes melibatkan penarikan balik trofi kemenangan, tahun ini pihak Recording Industry Association of Malaysia (RIM) mengambil langkah yang lebih berhati-hati.
Dalam sidang media yang diadakan bertempat di Hotel Grand Millenium, Kuala Lumpur, RIM yang diwakili En Rosmin Hashim iaitu Pengurusi Bersama Jawatankuasa Penganjur RIM AIM 19 berkata, bagi memastikan ianya tidak berlaku lagi, pihaknya akan menggunakan peraturan dan cara penghakiman baru untuk memperbaiki semula imej AIM yang telah tercemar pada tahun lalu.
"Saban tahun, satu persidangan atau forum akan dijalankan bagi mengumpulkan pandangan dan pendapat daripada mereka yang arif terutamanya penggiat industri muzik bagi mendapatkan keputusan yang lebih telus.
"RIM dan AIM akan mencari penyelesaian yang terbaik bagi mengelakkan terjadinya perkara seperti conflict of interest dan kami yakin,perkara yang sama tidaqk akan berulang semula pada tahun ini.
"PIhak RIM juga sering mengemaskini syarat dab peraturan bagi mengelakkan wujudnya sebarang pertikaian melibatkan penganjuran AIM sepertimana yang berlaku sebelum ini," ujar Rosmin kepada murai.com.my.
Rosmin juga dalam pada itu memberi jaminan bahawa barisan para juri yang terlibat dalam penghakiman AIM 19 kali ini daripada kalangan pengamal muzik yang sememangnya berpengalaman dalam bidang masing-masing seperti komposer, penulis lirik, pemuzik, penyanyi termasuklah jurutera bunyi.
"Pemilihan juga turut dibuat dari kalangan pihak media atau ahli akademik dalam bidang muzik bagi mendapatkan pandangan yang lebih bervariasi dalam variasi dalam pengadilan sesebuah karya dan lagu yang dipertandingkan di AIM.
"Mengenai ketua juri pula, calon yang dipilih nanti adalah di antara mereka punya pengalaman sekurang-kurangnya 5 tahun di dalam industri ini," tambahnya lagi.
Walaupun reputasi AIM dan RIM pernah dipersoalkan pada edisi tahun lalu, namun bagi Rosmin, ianya adalah satu perkara yang lumrah.
"Pihak kami berharap perkara sedemikian tidak akan berlaku lagi anugerah berprestij yang diwujudkan untuk memartabat serta mengiktiraf hasil kerja dan kreativiti karyawan muzik tempatan kita ini," katanya.
Baginya, apa yang penting adalah kredibiliti AIM dan berharap ianya akan lebih telus dengan adanya forum dan pemilihan yang lebih teliti daripada barisan pihak juri menerusi prosedur penghakiman yang telah disediakan.
Anugerah Industri Muzik yang bakal memasuki edisi ke 19 ini bakal berlangsung pada 17 November 2012 di Stadium Malawati, Shah Alam dan akan dipancarkan Astro Ria secara langsung di saluran 104 hanya di Astro.










