KL, 18 JULAI 2012: Minggu lalu telah berlangsungnya satu lagi majlis pertunjukan fesyen hari raya daripada seorang pereka fesyen muda berbakat besar di sebuah pusat jualan perhiasan wanita di ibu negara.
Sayang sekali, Murai Batu tidak dapat hadir kerana terlalu sibuk mencari kain baju raya untuk sanak saudara sebelum pereka fesyen kegemaran Murai Batu tutup menerima tempahan. Nasib baiklah sempat.
Walaupun Murai Batu tiada di sana, tapi itu tidak bermakna Murai Batu tidak mempunyai mata-mata untuk melaporkan apa yang terjadi sepanjang majlis berkenaan.
Ada beberapa perkara yang menjadi perhatian Murai Batu. Pertamanya sikap terlalu terbuka atau easy going dua orang selebriti kontroversi.
Mana tidaknya, seorang selebriti perempuan ini khabarnya telah berani menayang kekasihnya yang kacak lagi tinggi lampai dari Timur Eropah, meskipun dia tahu perbuatannya itu akan mengundang kontroversi daripada pihak media.
Apatah lagi, beberapa hari sebelum itu, selebriti merangkap pelakon berkenaan telah menggegarkan laman maya dengan foto seksinya yang tersebar secara meluas di internet dan menjadi laporan di kebanyakan laman web serta blog hiburan.
Murai Batu bukannya apa. Cuma tidak mahu tindakan pelakon wanita berkenaan akan disalah anggap oleh sestengah pihak meskipun niat selebriti wanita berkenaan jujur dan ikhlas kerana tidak mahu berselindung lagi.
Tapi khabarnya, pelakon berkenaan telah mendapat pujian ramai kerana personalitinya yang berkeyakinan tinggi serta tampil dengan persona tersendiri lagi cantik untuk dirakamkan puluhan lensa kamera yang ada di situ.
Keyakinannya ketika menjawab soalan setiap pihak media dan keterbukannya untuk merakamkan gambar bersama kekasih Timur Eropah itu juga turut dipuji. Itu yang membuatkan Murai Batu tabik habis.
Seorang lagi selebriti yang hadir pada majlis berkenaan turut menjadi perhatian Murai Batu.
Mungkin kerana dia sudah lali dengan cerita panas dan ragam dunia hiburan tempatan, jadi pelakon wanita berkenaan sama sekali tidak pandai untuk berselindung dengan apa juga bait bicara yang dilontarkannya sepanjang berada di sana.
Bagi Murai Batu, ada baik dan buruknya sikap selebriti kontroversi ini. Mungkin bagi sesetengah pihak akan kurang faham dan memandang serong dengan keterbukaannya itu tapi hakikatnya hanya artis itu saja yang mengerti.
Walau bagaimanpun bagi Murai Batu, setiap selebriti perlulah menjaga tutur katanya apabila berbicara di hadapan khalayak supaya tidak dilabel sebagai terlalu terbuka atau keterlaluan. Maklum sajalah, anda adalah roll model kepada orang ramai.
Jangan pula nanti, apa juga yang diperkatakan itu akan menjadi bahan modal orang lain atau pihak tidak bertanggungjawab untuk menaburkan fitnah ke atas diri anda. Betul tak? Murai Batu hanya menegur untuk kebaikan bersama.
Murai Batu: Suka lihat kesopanan dan tata tertib Anzalna dari pertama kali mengenalinya hingga kini. Cayalah.





.jpg)




