Teks oleh Syafiqah Jalal
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2012: Seramai 6 selebriti wanita telah menggayakan busana Aidilfitri rekaan Ariff Shukor berserta barang kemas Rafflesia White South Sea Pearls dalam majlis Prebiu Koleksi Raya di Rafflesia Pearl Centre yang diadakan di Hotel Park Royal, baru-baru ini.
Bertemakan rona turqoise, kesemua 6 selebriti terbabit iaitu Anzalna, Zarina Anjoulie Lavocah, Elfira Loy, Faralyna Idris, Reen Rahim (Juara Pilih Kasih 3) dan Lana Nordin telah menggayakan busana dari warna yang sama dengan berbeza rekaan yang sesuai untuk disarungkan ketika Aildilfitri yang bakal tiba.
Ariff Shukor berkata dia memilih tema turqoise kali ini kerana merasakan ianya amat menepati citarasa wanita kini, lebih-lebih lagi dengan rekaannya yang ringkas dan praktikal.
"Bagi rekaan baju sempena Aidilfitri kali ini, saya mementingkan ciri-ciri yang ringkas dan praktikal kepada si pemakai. Saya tidak menggunakan lace dan tidak begitu sarat dengan labuci atau sebagainya supaya ia nampak lebih ringkas tetapi masih bergaya dengan rona turqoise.
"Selain itu, saya menerapkan ciri-ciri klasik dan moden supaya si pemakai tetap nampak seksi walaupun berbaju kurung," katanya kepada murai.com.my
Dalam pada itu, Ariff turut memberitahu rekaanya kali ini adalah rekaan khas yang sangat sesuai digayakan bersama barang kemas mewah, Rafflesia White South Sea Pearls.
"Ketika mereka kesemua busana ini, saya turut menerapkan citarasa pemakai Rafflesia yang sememangnya sentiasa mahu berpenampilan elegan dan mewah. Misalnya, busana kaftan bersama hoot yang digayakan oleh Zarina Anjoulie," tambahnya lagi.
Busana rekaan Ariff telah pun mula dijual secara online menerusi akaun Facebooknya - Ariff Shukor.










