Teks oleh Haswari Ali
Twitter: @ Stailista
Email: ayie@astro.com.my
Foto oleh Mazlan Yunos Photography
KUALA LUMPUR, 10 JULAI 2012: Dikalangan selebriti terkenal negara, nama empat pereka fesyen iaitu Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Zery Zamry dan Hazwani Osman tidak perlu diperkenalkan lagi.
Maka tidak hairanlah, ketika majlis pertujukan fesyen hari raya daripada keempat-empat pereka fesyen berkenaan di Muzium Tekstil Negara, di sini malam tadi beberapa nama tersohor seperti Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain dan Nur Fazura telah hadir.
Mereka adalah salah seorang daripada beberapa selebriti terkenal air yang telah banyak membantu memperkenal serta menaikan nama keempat-empat pereka fesyen berkenaan dipersada industri fesyen dan juga hiburan tempatan.
Masih berdiri di bawah lembayung 5 Stars yang dicipta beberapa tahun lalu, Rizman Ruzaini, Hatta Dolmat, Hazwani Osman dan Zery Zamry tampil dengan koleksi hari raya berinspirasikan dunia glamor tempatan dan juga antarabangsa.
Zery Zamry misalnya melempiaskan dunia klasik era hitam putih daripada kegemilangan Puan Sri Saloma dan juga Audrey Hepburn di dalam 10 rekaannya menerusi koleksi Classic Glam.
Penggunaan fabrik bercorak seperti polka dot, jalur, berbunga broked diketengahkan Zery Zamry dengan permainan rekaan kegemarannya seperti kurung moden, kurung kedah, kebaya jarang selain rekaan terbaru seperti top potongan peplum ada dalam rekaannya kali ini.
Begitu juga dengan Hatta Dolmat yang turut mengetangahkan polka dot sebagai penghias koleksi Raya: La Dolce Von Teese Pret-A-Porter 2-12.
Sesuai dengan pemilihan pelakon sensasi Tasha Shilla sebagai wajah pelaris bagi kempen koleksi lebaran miliknya kali ini, Hatta Dolmat nampaknya berani bermain dengan rekaan sarat dan fabrik mewah bagi merealisasikan impiannya.
Hazwani Osman pula seperti biasa bijak bermain puitis dan seloka romantis di atas koleksinya yang diberi nama Lebaran Love Story.
Diinspirasikan daripada baju kurung tradisional dan kebaya yang tak segar sampai bila-bila, Hazwani Osman menyerlahkan kemewahan rekaannya dengan pemilihan fabrik mewah seperti suteram sutera satin, organza,lace, kain sequined, creep, digital printed satin, dan tulle satin.
Sementara itu pereka fesyen duo, Rizman Ruzaini tampil dengan koleksi Eidul-fitr Precious 2 senada dan seirama yang merupakan kesinambungan daripada koleksi lebarannya tahun lalu.
Kali ini permainan rekaan bahagian bahu iaitu off shoulder dan sekali lagi shoulder pad menjadi tunjang utama Rizman Ruzaini bagi menyelaraskan setiap rekaannya yang berinsipirasikan batu permata berkilau bak bintang ternama.
Malah kelebihan Rizman Ruzaini bukan sahaja kerana kebijaksanaan mereka bermain dengan warna menggoda, tetapi juga ayunan kain setiap rekaannya beralunan lemah gemalai sesuai untuk dipakai si jelita kala bertandang ke majlis hari raya.
Klik di sini untuk melihat koleksi hari raya Rizman Ruzaini
Klik di sini untuk melihat koleksi hari raya Hatta Dolmat










