Assalamualaikum, Salam 1Malaysia,
Minggu ini saya akan menjelaskan mengenai persoalan berkaitan peserta Maharaja Lawak Mega (MLM) yang sakit dan tidak dapat melakukan persembahan.
Setakat ini, baru satu minggu sahaja Bob Kuman sakit dan tidak dapat menghadirkan diri. Persembahan Bawal Power tetap diteruskan oleh Sobri. Dalam format rancangan ini, kumpulan boleh beraksi sekiranya kurang ahli tetapi tidak boleh menambah ahli. Ini hanya sah sekiranya ada isu kesihatan.
Sebelum membuat sesuatu persembahan, kami seringkali menasihati para peserta supaya lawak yang disampaikan tidak ke arah double meaning.
Sejujurnya, kami mempunyai Content Code yang diberi kepada mereka untuk dijadikan panduan. Namun, adakala perkara ini tidak dapat dielakkan kerana MLM adalah program yang dipancarkan secara langsung. Pun begitu, bagi siaran ulangan, kami sememangnya akan menyunting semula supaya bahasa atau kesalahan tersebut tidak lagi disiarkan.
Sejujurnya, kami tiada masalah dengan persembahan peserta yang membawa watak bukan diri mereka. Selagi mereka tidak melanggar content code kami, perwatakan lelaki menyerupai wanita itu sedikit pun tidak mendatangkan masalah.
Dari segi komen yang dilontarkan oleh pihak juri, dari awal lagi kami mahu juri bertindak sebagai wakil penonton di luar sana. Saya rasa, penjelasan awal yang kami berikan kepada pihak juri pun adalah untuk menjadi sejujur yang boleh dalam memberikan pandangan.
Saya juga ingin menekankan di sini bahawa pemilihan juri jemputan berdasarkan faktor populariti di negara asal. Selain itu, dia juga boleh meluangkan masa ke Malaysia untuk penjurian.
Sekali lagi, tentang bahasa yang digunakan oleh peserta MLM sangatlah dikawal mengikut content code yang disediakan. Sekiranya ia tidak sesuai dan agak kasar, kami akan menyuntingnya untuk siaran ulangan.
Setakat ini, saya tidak nampak pun unsur favouritism dari pihak juri terhadap peserta MLM. Ini adalah pertandingan yang diaudit dan kalau dilihat, semua yang buat persembahan yang baik akan berada di tangga atas. Manakala, yang menampilkan persembahan kurang memuaskan akan berada di tiga tangga terbawah.
Syukur Alhamdulillah, sambutan yang diberikan terhadap MLM semakin baik dan jika ditanya perancangan untuk mengadakan MLM di luar sekitar Lembah Klang seperti yang dibuat pada Maharaja Lawak sebelum ini, ia akan diberitahu kelak.
Kalau kami diminta untuk menukar format pemarkahan. Apa yang boleh saya katakan adalah ini adalah format pemarkhan program ini. Pertukaran tidak boleh dilakukan sesuka hati. Ada sebab-sebab disebalik ratio dan ini telah pun difailkan.
Akhir kata, kami dari pihak Astro sentiasa berusaha untuk menghiburkan penonton kita dari segala segi. Oleh itu, usaha akan dipertingkatkan untuk menambahkan lagi kualiti rancangan.
Sekian terima kasih,
Nizam Sani (Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro)










