Susunan oleh Razif Rosdi
SOUEL, 28 SEPT 2011: Pelakon kacak dari Korea Selatan, Lee Dong Wook, 30, telah membuat pengumuman rasmi bahawa dia pernah keluar makan malam bersama dengan salah seorang pelakon wanita yang pernah menjadi heroinnya dalam sebuah drama.
Pengakuan ini dibuat pelakon yang sedang menggoda peminatnya menerusi drama Scent Of Woman dalam program TV Terbitan SBS iaitu Healing Camp Are You Not Happy, pada 26 September lepas.
Dalam siri program itu, Dong Wook menyatakan dia sering saja digandingkan bersama pelakon wanita yang lebih berusia darinya. Namun, dia tidak menafikan pernah berkencan atau menaruh perasaan dengan salah seorang heroin itu.
Apa yang pasti, Dong Wook bukanlah sengaja membuka rahsia ini tetapi dia sekadar menjawab soalan yang ditanya pengacara Kim Jae Dong yang berbunyi: Pernahkah anda bercinta atau keluar makan malam bersama dengan salah seorang pelakon wanita yang berlakon bersama anda?
Dari pengakuan itu, timbul pula tanda tanya siapakah pelakon wanita berkenaan kerana Dong Wook tidak pula menyatakan nama pelakon wanita tersebut. Mungkinkah Lee Da Hae yang bergandingan dengan Dong Wook dalam drama My Girl?
Difahamkan, sekitar tahun 2010, Lee Da Hae pernah mengaku keluar makan malam bersama salah seorang pelakon dalam drama lakonannya. Jika bukan Da Hae mungkin juga Kim Hyun Joo, Song Yong Ah dan Kim Sun Ah.
Berbalik kepada pengakuan Dong Wook menerusi program ini, pelakon yang sudah 10 tahun mencipta nama ini turut berkongsi cerita mengenai hasrat adiknya yang mahu dia hadir ke majlis kahwin itu nanti.
"Saya bukannya datang dari keluarga yang senang. Dari kecil lagi, kewangan keluarga saya tidak berapa bagus. Boleh dikatakan, kami tinggal dalam serba kekurangan. Sebab itulah juga, saya rasa bersalah dengan adik saya kerana tidak dapat menunaikan hasrat adik saya," ujarnya.
Sebaik saja mendengar luahan Dong Wook, pihak penerbitan telah menyiarkan video pengakuan adik Dong yang inginkan abangnya itu memikirkan tentang dirinya pula.
"Saya sangat gembira sekarang abang. Kegembiraan saya sekarang ini pun semuanya kerana pengorbanan abang. Selama ini, abang telah berkorban apa saja demi keluarga. Jadi, saya mahu abang sekarang hiduplah demi diri abang. Walau apa jua terjadi, kami sekeluarga tetap berada di sisi abang," jelas adiknya dalam nada sedih.
Memberikan respon selepas menonton video berkenaan, Dong Wook dalam nada menyembunyikan kesedihannya itu berkata: "Sejak menghambakan diri sebagai anak seni selama 10 tahun bermula di bangku sekolah lagi, saya tak pernah pandang ke belakang. Saya bekerja keras untuk apa yang saya dapat selama ini. Apapun, saya gembira kerana adik saya bakal berkahwin tidak lama lagi."










