Raja Ema Perjelas Segala Khabar Angin

berita | Tempatan

Raja Ema Perjelas Segala Khabar Angin

addthis kongsi icon

Media Galeri


Teks: Ellyna Ali
Foto oleh Thani Hasbullah



SUBANG JAYA, 1 APRIL 2008:
Hanya satu saja impian Allahyarham Yusni Jaafar, 62, yang tidak kesampaian iaitu berbulan madu buat kali keduanya bersama suami, Raja Ibrahim Raja Mansor, 78, di hotel baru terapung Port Dickson.


"Memang arwah ibu teringin sangat berbulan madu dengan ayah di situ. Tapi, apakan daya, kesihatan arwah yang tidak menentu (akibat masalah kerosakan hati - liver failure) sejak kebelakangan ini tidak mengizinkan ibu berbuat demikian.


"Dengan penjelasan ini, saya harap tidak akan timbul lagi cerita-cerita tidak betul kononnya antara ibu dan ayah saya sudah lama berpisah. Semua itu adalah fitnah.


"Biarpun mereka pernah tidak tinggal sebumbung, tapi sejak mendirikan rumahtangga selama 40 tahun, mereka masih tetap suami dan isteri," kata pelakon dan penyanyi Raja Ema.


Anak kedua kepada pelawak Yusni yang kini berusia 40 tahun berkata demikian sewaktu diminta mengulas mengenai status sebenar arwah ibu dan ayahnya yang dikatakan sudah tidak lagi bersama selepas Yusni mengambil keputusan untuk hidup sendirian.


Raja Ema yang sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi kerana tuduhan menjadi anak derhaka apabila dikatakan mengabaikan tanggungjawabnya sebagai anak, bersyukur kerana bonda tercintanya menutup mata dalam keadaan yang tenang.


"Dalam keadaan yang cukup kritikal pun ibu tetap nampak begitu gembira sekali. Dalam keadaan sakit-sakitnya, dia sempat beritahu begitu gembira kerana sentiasa dikelilingi suami dan anak-anak.


"Alhamdullilah, sebab kami semua sempat berada di sisi ibu sebelum dia pergi buat selama-lamanya. Saya sendiri sempat meminta ibu mengucap, manakala adik beradik yang lain pula membacakan Yasin.


"Apapun, sebagai anak-anaknya, kami semua redha dengan pemergian ibu. Sudah lama dia menderita dengan penyakit yang dihidapi, jadi biarlah dia pergi dengan keadaan yang tenang," kata Raja Ema.


Selain Raja Ema, arwah Yusni juga dikurniakan empat anak iaitu Raja Iskandar, Raja Izat, Raja Emy dan Raja Irna.


Arwah Yusni yang terkenal dengan lawaknya yang mencuit hati menerusi filem komedi seperti Si Badol, Panglima Badol, Sikit Punya Gila, Guru Badul serta Hantu Siang dan filem muzikal Azura, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Selayang, sekitar jam 2.30 pagi tadi.


Kematian beliau dikatakan berpunca daripada masalah kerosakan hati yang yang mengakibatkan pelbagai komplikasi pada seluruh tubuh badannya hingga dia sentiasa berada di dalam kritikal setiap kali koma.


Dalam kejadian tersebut, arwah sempat menutup mata buat kali terakhir di hadapan suaminya, Raja Ibrahim, lima anaknya termasuk Raja Ema dan Raja Iskandar serta adiknya, Sukarni Jaafar, 54.


Jenazah arwah kemudian turut dibawa seketika ke kediamannya di Subang Jaya sebelum dihantar ke Masjid Darul Ehsan, Seksyen 15 untuk dikapankan.


Pesan Yusni terhadap Raja Ema


Kata Raja Ema lagi, sebelum meninggalkan alam yang fana ini, arwah ibunya sempat menitipkan pesanan supaya dia sentiasa bersabar dalam menghadapi apa jua cabaran.


"Dia berkata begitu kerana sedar yang saya ini sentiasa diuji dan pelbagai dugaan dan cabaran hidup. Dia juga mahu saya selalu jaga serta tengok-tengokkan adik-adik saya," katanya.


Sekalipun penyakit masalah kerosakan pada hati dianggap sebagai satu dugaan buat arwah ibunya, Raja Ema sedar ia satu rahmat.


"Rahmatnya adalah kerana kami semua dapat berkumpul bersama keluarga. Apa yang membuatkan saya gembira ialah pada awalnya ibu sendiri yang mahu hidup sendirian tetapi akhirnya dia pulang semula ke pangkuan kami.


"Waktu ibu ambil keputusan itu, saya dan ayah turutkan saja. Kalau cara itu mampu membuatkan ibu bahagia dan gembira, kami turutkan saja. Yang penting, kami mahu lihat dia bahagia.


"Malangnya, apa yang berlaku sudah diperbesar-besarkan dan masalah yang tiada juga diada-adakan hingga saya dituduh tidak mengambil berat langsung tentang kehidupan ibu.


"Sebagai anak, saya cuba jalankan tanggung jawab saya dengan sebaik mungkin. Bukan sengaja hendak mendabik dada, tapi dengan rezeki yang Tuhan beri, alhamdulillah, sudah empat kali saya hantar ibu menunaikan umrah dan sekali mengerjakan haji.


"Kalau benar, hubungan saya dan ibu bermasalah, tidak mungkin kami berdua akan bersama lagi pada saat-saat yang seperti ini," katanya.


Jenazah Yusni selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang-Orang Islam, USJ 21, Subang Jaya kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.


Ramai rakan artis dan selebiri hadir berziarah serta memberikan penghormatan buat kali yang terakhir.


Antara mereka ialah Datuk Jins Shamsuddin, Datuk Maria Menado, Datuk Aziz Sattar, Datuk A Rahman Hassan, Datuk Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Datuk DJ Dave, Datin Ziela Jalil, Datin Ramziela, Raja Azura, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Azean Irdawaty,Ahmad Tamimi Siregar, Jeffrydin, Nassier Wahab, Salwa Abd Rahman, Rohana Jalil, Khairil Khamis, Jalil Hamid, Juliza Adlizan, Deja Moss, Arash Mohd, Azizah Mahzan, Rashid Sibir, Elly Suriaty, Syanie, Farhan, Hans Isaac, Nurul dan Nadia Mustapha.


Warga murai.com.my mengucapkan takziah buat seluruh keluarga arwah. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman, amin...

Komen-Komen | 17

Nama:


Komen Anda:


Aksara yang tinggal:





SEDIHNYA
MILA - 9-Apr-2008

sya ucp takziah kpda klurga arwah
farah - 7-Apr-2008

takziah pada keluarga ibu yusni...yang hidup pasti kan pergi Nya...
527687 - 4-Apr-2008

best la web murai ni,cepat dan betul(alamak mcm moto polis)mmg cepat brta ttg kematian pelakon Yusni misalnya...sy paling awal tahu sebab klik web murai....selepas pukul 7 baru lah tv,radio umumkan...wakakakakakakkah.ada Ong,keep it up abg Roslen n team.
becok - 4-Apr-2008

alfatihah! moga arwah ibu yusni akan ditempatkan bersama2 orang yang beriman..amin! buat raja ema serta keluarga,byk2 bersabar dlm mengharungi hidup ini!
shozmanz - 3-Apr-2008

1 2 3 4